Tuesday, December 23, 2008

Sudah lahir




Alhamdulillah anak kedua selamat lahir pada hari Sabtu 20 Disember 2008(bersamaan 22 Zulhijjah 1429 Hijrah) jam 10:41pagi. Isteri selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat dengan berat 2.92kg.
Kami tiba di Hospital Pusrawi,Jalan Tun Razak KL pada jam 7:30 pagi dan isteri selamat melahirkan anak secara normal tiga jam kemudian tanpa apa-apa komplikasi. Isteri mengalami kontraksi sejak jam 5 pagi.
Kami amat berpuas hati dengan layanan semua petugas di sana. Doktor Habibah adalah doktor yang menguruskan kelahiran(sama dengan anak yang pertama) dengan dibantu tiga atau empat orang jururawat lain.
Sehari kemudian,isteri dan anak telah dibenarkan keluar untuk pulang ke rumah di Taman Melati.
Allahu Akbar!

Tuesday, December 16, 2008

Menunggu hari


'False labour',begitu kata doktor memberitahu isteri minggu lepas. Khamis lepas,aku dikejutkan panggilan telefon isteri memberitahu pendarahan (bleeding) yang kami sangkakan sebagai tanda saat kelahiran anak kedua kami sudah tiba. Mengikut perkiraan doktor, isteri dijangka bersalin 6 Januari 2009 tetapi kebiasaannya akan bersalin lebih awal daripada jadual. Anak pertama kami lahir lima hari lebih awal daripada jadual iaitu pada 4 Disember 2006(jangkaan 9/10 Dis).
Yang menjadikan anak pertama dan kedua yang bakal lahir ini sama adalah kedua-duanya mengalami 'false labour' (apa kita nak panggil dalam Bahasa Melayu? Kelahiran palsu? :) )
Akhirnya sehari kemudian,isteri dibenarkan keluar daripada Hospital PUSRAWI,Jalan Tun Razak. Keadaan ibu dan bayi di dalam kandungan ok dan dibenarkan keluar.
Kami berdoa supaya kelahiran kali ini dapat berlaku dengan baik.
Ya Allah,kau kurniakan keselamatan dan kesejahteraan kepada isteriku dan anak dalam kandungan.

Muzium Diraja Seri Menanti


Sehari sebelum hari raya haji ,aku telah membawa isteri dan anakku ke Muzium Diraja Seri Menanti di Seri Menanti,Kuala Pilah. Kebetulan hari raya haji ini kami berhari raya di Kuala Pilah iaitu rumah keluarga isteri.
Inilah kali pertama aku ke sana walaupun jalan ke sana amat dekat dan jika melalui jalan lama terus dapat sampai ke rumah keluarga isteri di Senaling. Kalau difikir semasa lima tahun bersekolah di Seremban pun tidak dapat menggerakkan diri aku untuk ke sini.
Hajat mahu datang awal pagi tetapi keadaan tidak mengizinkan.Kami hanya dapat ke sana pada jam 4 petang dan menghabiskan masa mengambil gambar dan bersiar-siar ke sekitar istana lama ini selama sejam.
Cuaca pada hari itu mendung.Gambar yang diambil pun tidak memuaskan. Ternyata binaan istana ini amat teguh. Dibina pada tahun 1905 dan siap sepenuhnya pada tahun 1908. Ini bermakna sudah seratus tahun atau satu abad istana ini tersergam indah.Jurubinanya dua orang tukang kayu yang terkenal bernama Kahar dan Taib.
Indahnya seni binaan istana ini kerana ia dibina tanpa menggunakan paku, sama seperti binaan rumah tradisional Melayu lama yang lain. Istana ini empat tingkat dan mempunyai 99 batang tiang menggunakan kayu cengal. Setiap tingkat mempunyai fungsi masing-masing ,contohnya di tingkat pertama menempatkan Balai Rong Seri untuk upacara mengadap dan bilik beradu keluarga kerabat diraja pula di tingkat dua. Manakala ,tingkat tiga dikhaskan kepada Yang Dipertuan Besar. Di menara tingkat gunung pula menempatkan khazanah diraja.
Jalan menuju ke istana ini daripada simpang Seri Menanti tidak terlalu besar dan pemandu perlu berhati-hati. Tambahan pula, lembu sering berkeliaran di jalan raya. Sewajarnya, jalan raya dibesarkan dan publisiti meluas diberikan kepada istana ini supaya kita dapat melihat satu warisan bangsa dengan tradisi kesultanan yang unik dan binaan istananya yang teguh dan indah.
Istana ini dibawah penyelenggaraan Muzium Negeri Sembilan.