Tuesday, December 16, 2008

Muzium Diraja Seri Menanti


Sehari sebelum hari raya haji ,aku telah membawa isteri dan anakku ke Muzium Diraja Seri Menanti di Seri Menanti,Kuala Pilah. Kebetulan hari raya haji ini kami berhari raya di Kuala Pilah iaitu rumah keluarga isteri.
Inilah kali pertama aku ke sana walaupun jalan ke sana amat dekat dan jika melalui jalan lama terus dapat sampai ke rumah keluarga isteri di Senaling. Kalau difikir semasa lima tahun bersekolah di Seremban pun tidak dapat menggerakkan diri aku untuk ke sini.
Hajat mahu datang awal pagi tetapi keadaan tidak mengizinkan.Kami hanya dapat ke sana pada jam 4 petang dan menghabiskan masa mengambil gambar dan bersiar-siar ke sekitar istana lama ini selama sejam.
Cuaca pada hari itu mendung.Gambar yang diambil pun tidak memuaskan. Ternyata binaan istana ini amat teguh. Dibina pada tahun 1905 dan siap sepenuhnya pada tahun 1908. Ini bermakna sudah seratus tahun atau satu abad istana ini tersergam indah.Jurubinanya dua orang tukang kayu yang terkenal bernama Kahar dan Taib.
Indahnya seni binaan istana ini kerana ia dibina tanpa menggunakan paku, sama seperti binaan rumah tradisional Melayu lama yang lain. Istana ini empat tingkat dan mempunyai 99 batang tiang menggunakan kayu cengal. Setiap tingkat mempunyai fungsi masing-masing ,contohnya di tingkat pertama menempatkan Balai Rong Seri untuk upacara mengadap dan bilik beradu keluarga kerabat diraja pula di tingkat dua. Manakala ,tingkat tiga dikhaskan kepada Yang Dipertuan Besar. Di menara tingkat gunung pula menempatkan khazanah diraja.
Jalan menuju ke istana ini daripada simpang Seri Menanti tidak terlalu besar dan pemandu perlu berhati-hati. Tambahan pula, lembu sering berkeliaran di jalan raya. Sewajarnya, jalan raya dibesarkan dan publisiti meluas diberikan kepada istana ini supaya kita dapat melihat satu warisan bangsa dengan tradisi kesultanan yang unik dan binaan istananya yang teguh dan indah.
Istana ini dibawah penyelenggaraan Muzium Negeri Sembilan.

No comments: