Monday, May 18, 2009

Space Gambus Experiment - Minggu ni di Wisma Bentley



Sambung daripada catatan awal tentang Space Gambus Experiment.
Setelah selesai solat maghrib hari pertama, kami ke bandaraya Ipoh (Eh Ipoh bandarayakah?) untuk menikmati suasana di Gerbang Malam . Mcm pasar malam. Hujan gerimis ketika itu.
Aku secara peribadi amat suka dengan Ipoh sebab banyak bangunan lama. Mereka kena kekalkan bangunan-bangunan ini, jangan sesuka hati musnahkan dan bina bangunan baru.
Kalau diikutkan inilah kali pertama aku ke Ipoh dan betul-betul berjalan. Kali pertama, aku tersadai di Ipoh pada tahun 2004 sebab tiada bas ke KL dari Pulau Pinang. Jadi, aku dan Raof ke Ipoh dan membeli tiket ke KL.
Malam itu tidur awal untuk sambung rakaman keesokannya.
Pagi esoknya dalam jam 11.30 pagi kami memulakan proses rakaman yang panas seperti semalam. Hari kedua ,kami berjaya menghabiskan enam lagi lagu dengan memasukkan track gambus. Daripada kesemua tujuh lagu ini,tiga lagu sudah aku dengar di rumah. Selebihnya pertama kali didengar di rumah Kamal. Ada yang aku rakam beberapa kali untuk mendapat bunyi dan permainan yang betul. Ada yang hanya satu 'take' sahaja dan kami biarkan begitu. Ini aku rasa ada dua lagu - Tujuh Ruang Kosong dan Dari Dalam Kalbu.
Kami mahu hasil yang 'raw' dan 'natural' ,tidak banyak 'effects' dan 'touch up'. Seperti Kamal tekankan, biar 'lo fi' dan kami biarkan begitu.
Aku rasa perlu juga projek ekspres seperti ini untuk memanjangkan kreativiti dan tidak terikat dengan kerja studio yang panjang dan menghilangkan momentum.
Tidak sampai seminggu ,kesemua tujuh lagu beserta sebuah video siap dikerjakan Kamal. (yeah!)
Lagu-lagu itu boleh didengar dan dimuat turun di link sebelah kanan blog ini. Kami juga telah mendapat persetujuan daripada sebuah penerbitan yang berhasrat untuk mengeluarkan lagu-lagu ini di dalam bentuk Cd nanti beserta empat rakaman baru.

Kemaskini:
23 Mei,Sabtu,3 petang, Space Gambus Experiment akan membuat penampilan pertama di program Homegrown di Wisma Bentley,Mutiara Damansara. Masuk adalah percuma!

Wednesday, May 13, 2009

Projek


Lama betul aku tak mengemaskini blog ni.
Bulan lepas aku mengambil peluang hujung minggu untuk ke Ipoh. Selepas selesai hari pertama rakaman Dewangga Sakti, aku ke Ipoh pula di pagi Ahad 12 April jam 8:30 pagi untuk merakamkan sebuah projek bersama Kamal Sabran. Tiba di Ipoh dan disambut meriah oleh Kamal di stesen bas. Kali ini kami berkonspirasi untuk merakamkan satu projek yang akhirnya kami namakan Space Gambus Experiment(SGE).
Uniknya semua idea muzik dan projek ini kami dapat semasa kami sibuk berbual di laman facebook . Bayangkan setiap hari selama beberapa bulan kami berbual di facebook (biasanya semasa hari bekerja sebab aku tiada internet di rumah) dan akhirnya kami buat keputusan melanjutkan proses kreatif kami di studio.
Maka hari Isninnya aku mengambil cuti. Ada dua hari di sana . Inilah pertama kali kami bertemu setelah asyik berbual di internet sahaja.
Mungkin sebab ada 'chemistry' di antara kami, rakaman berjalan lancar di studio kecil milik Kamal di atas loteng rumahnya di Manjoi. Keadaan panas juga melancarkan kreativiti di atas sana.
Lagu pertama yang kami rakamkan adalah Pengembara Cahaya. Sebenarnya asas kepada lagu ini sudah ada, tugas aku memasukkan track gambus ke dalam lagu ini.Beberapa jam seterusnya,kami merakamkan pula video daripada pelbagai 'shot' untuk dibuat video clip yang boleh dilihat di widget sebelah kanan blog ini.
Setelah selesai kami ke kedai mamak untuk makan dan membuat perbincangan seterusnya. Sesi pertama kami ini juga dihadiri oleh saudara Padil yang memegang kamera video.
Bersambung...